Isnin, 14 Julai 2008

SIRAH: DUTA ISLAM YANG PERTAMA

MUS'AB BIN UMAIR (Bahagian 2)

Demikianlah beberapa lama Mus’ab tinggal di dalam kurungan sehingga tiba masa beberapa orang Muslimin berhijrah ke Habsyah. Mendengar berita hijrah ini mus’ab pun mencari muslihat dan dia berjaya mengelabui ibu dan penjaga-penjaganya lalu pergi habsyah untuk melindungi dirinya. Mus’ab tinggal di sana bersama saudara-saudara kaum muhajirin kemudiannya pulang ke Mekah semula. Selepas itu dia berhijrah lagi kali yang kedua bersama para sahabat di atas arahan Rasulullah dan kerana taat kepadanya.

Sama ada di Habsyah ataupun di Mekah, banyak ujian dan penderitaan yang harus dilalui oleh Mus’ab dalam setiap saat dan tempat dan ia semakin bertambah. Walau bagaimanapun Mus’ab telah selesai dan berjaya membentuk corak kehidupan menurut pola yang modelnya telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Dia berasa puas kerana kehidupannya telah layak untuk dipersembahkan sebagai pengorbanan terhadap Penciptanya Yang Maha Tinggi, Tuhannya Yang Maha Besar.

Pada suatu hari Mus’ab muncul di hadapan beberapa orang Muslimin yang sedang duduk di sekeliling Rasulullah s.a.w, setelah melihat Mus’ab, mereka semua menundukkan kepala dan memejamkan mata dan beberapa orang pula kelihatan matanya basah kerana sedih. Mereka melihat Mus’ab memakai jubah usang yang bertampal-tampal sedangkan mereka belum lagi melupakan tentang pakaiannya sebelum memeluk Islam, tidak ubah seperti kembang di taman, berwarna warni dan berbau wangi. Rasulullah pula menatapnya dengan pandangan yang penuh makna, disertai rasa cinta dan kasih serta syukur di dalam hati, pada bibirnya terukir senyuman mulia, seraya bersabda:
Dahulu saya lihat Mus’ab ini tidak ada yang mengimbangi dalam memperoleh kesenangan dari orang tuanya, kemudian ditinggalkannya semua itu demi cinta kepada Allah dan RasulNya.”

Semenjak ibunya berasa putus asa untuk mengembalikan Mus’ab kepada agama yang lama, dia telah memberhentikan pemberian yang biasa diberikannya. Bahkan dia tidak rela sekiranya makanannya di makan oleh orang yang telah mengingkari berhala dan patut mendapat kutukan daripadanya, walau pun anak kandungnya sendiri.

Akhirnya Mus’ab bertemu dengan ibunya ketika ibunya ingin mencuba untuk mengurungnya sekali lagi sewaktu dia pulang dari Habsyah. Dia pun bersumpah dan menyatakan tekadnya untuk membunuh orang-orang suruhan ibunya bila rancangan itu dilaksanakan.Disebabkan ibunya telah mengetahui betapa kuat tekad puteranya yang telah mengambil satu keputusan, maka tidak ada jalan lain baginya melainkan melepaskan dengan cucuran air mata sementara Mus’ab mengucapkan selamat berpisah dengan menangis pula.

Saat perpisahan itu menggambarkan kepada kita kegigihan luar biasa dalam kekafiran pihak ibu, sebaliknya kebulatan tekad yang lebih besar dalam mempertahankan keimanan di pihak anak. Semasa ibunya mengusir Mus’ab dari rumah sambil berkata “Pergilah sesuka hatimu! Aku bukan ibumu lagi!” Maka Mus’ab pun menghampiri ibunya sambil berkata “Wahai bonda! Telahpun anakanda sampaikan nasihat kepada bonda, dan anakanda berasa kasihan kepada bonda. Oleh itu saksikanlah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya.”

Dengan murka dan marahnya ibunya menjawab: “Demi bintang! Sekali-kali aku tidak akan masuk ke dalam agamamu itu. Otakku boleh rosak dan pandanganku tidak akan diendahkan orang lagi.”

Begitulah Mus’ab meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dialaminya selama ini dan memilih hidup miskin dan sengsara, pemuda yang segak dan bergaya itu kini telah menjadi melarat dengan pakaian yang kasar dan usang, sehari makan dan beberapa hari menderita lapar. Tetapi jiwanya yang telah dihiasi dengan aqidah suci dan cemerlang berkat Nur Ilahi, telah merubah dirinya menjadi seorang manusia lain, iaitu manusia yang dihormati, penuh wibawa dan disegani.

………………bersambung