Sabtu, 18 April 2009

Alangkah Kecilnya Manusia




Alangkah kecilnya manusia dibandingkan dengan kehebatan Allah..
Alangkah kecilnya manusia di hadapan ciptaan Allah..
Alangkah kecilnya manusia di hadapan Allah..
Siapakah kita di hadapan Allah Al-Khalik..


siswi haluan

ERTI CINTA DAN PERKAHWINAN




Suatu pagi yang dingin, terjadilah satu perbualan antara seorang guru falsafah dan pelajarnya...

Pelajar: guru, apakah erti cinta..? bagaimanakah saya boleh mendapatkannya...?

Guru: ada sebuah ladang gandum yang luas didepan sana ,berjalanlah kamu dan jangan sesekali kamu berundur. kemudian ambillah satu ranting. Sekiranya kamu mendapati ranting tersebut sangat menakjubkan, ertinya kamu telah menemui cinta.

Pelajar tersebut pun berjalan dan tidak berapa lama dia kembali dengan tangan yang kosong.

Guru bertanya: Mengapa kamu tidak membawa sebatang ranting pun...?

Pelajar menjawab: Saya hanya terpaksa memilih satu ranting saja dan sewaktu berjalan saya tidak boleh mengundur kebelakang semula. Sebenarnya saya telah berjumpa dengan satu ranting yang paling menakjubkan tapi saya tak tahu apakah yang akan menakjubkan di hadapan sana nanti, maka saya biarkan ranting itu lalu saya dapati tidak ada lagi ranting yang paling menakjubkan selain daripada yang saya lihat tadi. jadi saya tidak mengambil sebatang pun akhirnya.

Gurunya menjawab: Ye, itu lah cinta...

Di hari lainnya pula pelajar tersebut bertanya kepada gurunya, apa itu perkahwinan...?

Guru: Ada hutan yang subur didepan sana . berjalanlah kamu. Tetapi janganlah kamu sesekali mengundur kebelakang. Tebanglah sepohon pokok saja dan tebanglah jika kamu merasakan bahawa pohon tersebut adalah yang paling cantik, segar dan tinggi kerana kamu telah menemukan apa itu perkahwinan.

Pelajar tersebut pun berjalan dan tidak berapa lama dia datang semula dengan membawa sepohon kayu, walaupun pohon tersebut tidaklah berapa segar, cantik dan tinggi pada pandangan guru tersebut.

Maka gurunya pun bertanya: mengapa kamu memotong pohon seperti ini....?

Pelajar itu menjawab: sebab berdasarkan pengalaman ku sebelum ini, aku hanya berjalan separuh daripada hutan tersebut dan aku takut akan kembali dengan tangan kosong. Jadi saya mengambil kesempatan menebang pohon ini lalu dibawa kesini. Pada pandangan saya ianya adalah pohon yang terbaik buat saya. Saya tidak mahu kehilangannya atau menyesal kerana tidak memilihnya...

Maka guru itu menjawab: itulah perkahwinan.......

Kesimpulannya, usahlah terlalu memilih cinta, ditakuti anda akan terlepasnya, dan janganlah terlalu memilih jodoh, terimalah pasangan anda dengan seadanya. Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Setiap insan pasti ada kelebihan dan kekurangannya .

Oleh: Prof Madya Dr Asmawati Desa

TAZKIRAH: MENGINGATI MATI

Menurut Imam al Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati:

1.Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia.

2.Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Imam Ghazali juga telah menerangkan tentang cara mengingati mati, di antaranya:

1) Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikatul maut akan menjemput kita.

2) Ingat bagaimana cara mereka meninggal. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini.

3) Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat, minum arak, disko, tinggal solat dan sebagainya. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.

4) Ziarahi orang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.

SIRAH: DUTA ISLAM YANG PERTAMA

MUS’AB BIN UMAIR (Bahagian 3)

Mus’ab telah dipilih oleh Rasulullah SAW untuk melaksanakan satu tugas yang penting pada ketika itu. Dia menjadi duta atau utusan Rasul ke Madinah untuk mengajarkan selok-belok agama kepada orang-orang Ansar yang telah beriman dan berbai’at kepada Rasulullah SAW di bukit Aqabah. Di samping itu mengajak orang-orang lain untuk memeluk Islam, serta mempersiapkan kota Madinah untuk menyambut hijratul Rasul sebagai peristiwa besar.

Sebenarnya dikalangan sahabat ketika itu masih banyak yang lebih tua, lebih berpengaruh dan lebih dekat hubungan kekeluargaannya dengan Rasulullah SAW daripada Mus’ab. Tetapi Rasulullah SAW memilih “Mus’ab yang baik” and bukan tidak menyedari bahawa baginda telah memikulkan tugas penting ke atas pundak pemuda itu dan menyerahkan kepadanya tanggungjawab nasib Islam di Kota Madinah, satu yang tidak lama lagi akan menjadi kota Hijrah, pusat para da’I dan dakwah, tempat berhimpunnya penyebar dan pembila Islam.

Mus’ab memikul amanat itu dengan berbekalkan kurniaan Allah kepadanya iaitu fikiran yang cerdas dan budi yang luhur. Dengan sifa zuhud, kejujuran dan kesungguhan dia berhasil melunakkan dan menawan hati penduduk Madinah hingga mereka berduyun-duyun memeluk Islam. Sesampainya di madinah, dia mendapati kaum Muslimin di sana tidak lebih dari 12 orang, iaitu orang-orang yang telah berbai’at di bukit Aqabah. Tetapi tidak sampai beberapa bulan kemudian, meningkatlah bilangan oang-orang yang sama-sama memenuhi panggilan Allah dan Rasul-Nya. Pada musin haji yang berikutnya, dari perjanjian Aqabah, kaum Muslimin Madinah mengirim utusan yang mewakilil mereka menemui Nabi SAW. Utusan itu dipimpin oleh guru mereka, oleh duta yang dikirim Nabi SAW kepada mereka iaitu Mus’ab bin Umair.

Dengan tindakannya yang tepat dan bijaksana, Mus’ab bin Umair telah membuktikan bahawa pilihan Rasulullah SAW atas dirinya itu tepat. Dia memahami tugas dengan sepenuhnya sehingga tidak melampaui batas yang telah ditetapkan. Dia sedar bahawa tugasnya adalah untuk menyeru kepada Allah, menyampaikan berita gembira lahirnya satu agama yang mengajak manusia mencapai hidayah Allah, membimbing mereka ke jalan yang lurus. Akhlaqnya mengikuti polar hidup Rasulullah SAW yang diimaninya. Di Madinah Mus’ab bin Umair tinggal sebagai tetamu di rumah As’ad bin Zararah. Dengan ditemani As’ad dia pergi mengunjungi kabilah-kabilah, tempat pertemuan, untuk membacakan ayat-ayat kitab suci dari Allah, menyampaikan kalimatullah “bahawa Allah tuhan yang Maha Esa” secara berhati-hati.

Dia pernah menghadapi beberapa peristiwa yang mengamcam keselamatannya dan sahabat-sahabatnya. Satu hari sedang dia memberikan ucapan kepada orang-orang, tiba-tiba disergah oleh Usaid bin Hudalir, ketua suku kabilah Abdul Asyhal di Madinah. Usaid menghentakkan lembingnya kepada Mus’ab dengan marahnya kerana menyaksikan Mus’ab yang dianggap akan mengganggu dan menyelewengan anak buahnya daripada mereka, serta mengemukakan Tuhan yang Maha Esa yang belum pernah mereka kenal dan dengar sebelum ini. Menurut pandangan Usaid, tuhan-tuhan yang bersimpuh lena di tempat masing-masing mudah dihubungi secara konkrit. Jika seseorang memerlukan salah-satu di antaranya, tentulah dia mengetahui tempatnya dan segera pergi mengunjunginya untuk menceritakan kesusahan serta menyampaikan permohonan. Demikianlah yang tergambar dan terbayang dalam fikiran suku Abdul Asyhal, tetapi Tuhan kepada Muhammad SAW yang diserukan beribadah kepada-Nya oleh utusan yang dating kepada mereka itu tidaklah diketahui tempat-Nya dan tidak seorang pun yang dapat melihat-Nya.

Apabila dilihat kedatangan Usaid bin Hudalir yang marah bagaikan api yang sedang membara kepada orang-orang Islam yang duduk bersama Mus’ab, mereka pun merasa takut, tetapi “Mus’ab yang baik” tetap tenang dengan air muka tidak berubah. Bagaikan singa yang hendak menerkam Usaid berdiri didepan Mus’ab dan As’ad bin Zararah. Bentaknya “Apa maksud kalian datang ke kampung kami ini, adakah hendak memperbodohkan rakyat kecil kami? Tinggalkan segera tempat ini, jika tidak ingin nyawa kalian melayang!”. Mus’ab berkata “kenapa anda tidak duduk dan dengar dahulu, seandainya anda menyukai nanti, anda dapat menerimanya. Sebaliknya jika tidak, kami akan menghentikan apa yang tidak anda sukai itu.” Usaid seorang yang berakal dan berfikiran sihat, dia diajak oleh Mus’ab untuk berbicara dan meminta pertimbangan hatinya sendiri. Yang dimintanya agar dia bersedia mendengar dan bukan yang lain. Jika dia bersetuju, dia akan membiarkan Mus’ab dan jika tidak, maka Mus’ab berjanji akan meninggalkan mereka dan mencari tempat lain dengan tidak merugikan sesiapa pun.

“Sekarang saya insaf” ujar Usaid, lalu menjatuhkan lembignya ke tanah dan duduk mendengar. Bila Mus’ab membacakan ayat-ayat al-Qur’an dan menghuraikan dakwah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah SAW, maka dada Usaid mulai terbuka dan bercahaya, beralun-berirama mengikuti naik-turunnya suara serta meresapi keindahannya. Dan belum sempat lagi Mus’ab selesai dari huraiannya, Usaid pun berkata “Alangkah indah dan benarnya ucapan itu! Dan apakah yang harus dilakukan oleh yang hendak memeluk agama ini?” maka sebagai jawapannya gemuruhlah suara tahlil, serentak seakan hendak mengoncangkan bumi. Kemudian Mus’ab berkata “hendaklah ia mensucikan diri, pakaian dan badannya, serta bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah SWT. Uasaid meninggalkan mereka beberapa ketika, kemudian kembali dengan terdapat air dirambutnya lalu ia berdiri sambil menyatakan pengakuannya bahawa tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah. Berita itu tersebar dengan cepatnya. Keislaman Usaid disusuli oleh Sa’ad bin Mu’adz. Setelah mendengar huraian Mus’ab, Sa’ad berpuashati dan memeluk Islam pula. Langkah ini pula diikuti oleh Sa’ad bin ‘Ubadah. Dan dengan keislaman mereka ini, bererti selesailah persoalan di antara pelbagai suku di madinah. Warga kota Madinah saling kunjung-mengunjung dan bertanya-tanya sesame mereka “Jika Usaid bin Hudalir, Sa’ad bin’Ubadah dan Sa’ad bin Mu’adz telah memeluk Islam, apa lagi yang kita tunggu, ayuhlah kita pergi kepada Mus’ab dan beriman bersamanya! Kata orang, kebenaran itu terpancar dari celah-celah giginya!”.