Ahad, 4 Mei 2008

SIRAH : DUTA ISLAM YANG PERTAMA

MUS’AB BIN UMAIR (Bahagian 1)

Mus’ab bin Umair adalah antara salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w.. Mus’ab adalah seorang remaja Quraisy yang terkemuka, seorang yang paling segak dan tampan, penuh dengan jiwa dan semangat kemudaan serta menjadi seorang warga Mekah yang mempunyai nama yang paling harum.

Mus’ab dilahirkan dan dibesarkan dalam kesenangan dan membesar dalam suasana tersebut. Boleh dikatakan pada ketika itu, tidak ada seorang pun anak-anak muda di Mekah yang beruntung dimanjakan oleh kedua ibu bapanya seperti yang dialami oleh Mus’ab bin Umair.

Mungkinkah seorang pemuda yang serba kecukupan, biasa hidup dalam kemewahan dan dimanjakan oleh kedua ibu bapanya, menjadi buah mulut gadis- gadis di Mekah dan menjadi bintang di tempat-tempat perjumpaan, akan berubah sehingga menjadi buah mulut tentang keimanan dan menjadi contoh dalam semangat kepahlawanan?

Sememangnya ini telah berlaku kepada Mus’ab atau “Mus’ab yang baik” iaitu gelaran yang diberikan oleh kaum Muslimin kepadanya. Inilah salah satu di antara peribadi-peribadi yang didik oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Bagaimanakah peribadi ini boleh terbentuk?

Kisah hidup Mus’ab menjadi kebanggaan umum. Suatu hari pemuda ini mendengar berita yang telah tersebar luas di kalangan warga Mekah mengenai Muhammad Al Amin…Muhammad s.a.w. yang menyatakan bahawa dia telah diutus oleh Allah sebagai pembawa berita suka dan duka sebagai da’i (pendakwah) yang mengajak ummat beribadat kepada Allah Yang Maha Esa.

Perhatian dan tumpuan warga Mekah pada ketika itu juga terpusat kepada berita itu dan tidak ada yang lain yang menjadi topic perbualan mereka kecuali tentang Rasulullah s.a.w serta agama yang dibawanya, maka pemuda yang dimanjakan ini juga banyak mendengar tentang berita itu. Walaupun usianya masih muda, namun dia mampu menjadi penyeri majlis-majlis perjumpaan dan kehadirannya selalu diharapkan oleh ahli-ahli dalam perjumpaan tersebut serta rakan-rakannya. Gaya yang tampan dan otak yang cerdas merupakan keistimewaan Ibnu Umair dan menjadi daya pemikat dan pembuka jalan penyelesaian masalah.

Di antara berita yang didengarnya ialah Rasulullah bersama dengan pengikutnya sering mengadakan perjumpaan di tempat yang terhindar jauh dari gangguan kaum Quraisy dan ancaman-ancamannya iaitu di Bukit Safa di rumah Arqam bin Abil Arqam.

Keraguannya terhadap perkara tersebut tidak lama, hanya seketika sahaja dia menunggu, maka pada suatu waktu senja dengan didorong oleh keinginan yang tinggi, dia telah pergi ke rumah Arqam untuk menyertai rombongan tersebut. Di tempat itu Rasulullah sering berkumpul dengan para sahabat, tempat mengajarkan ayat-ayat al Quran dan membawa mereka solat beribadat kepada Allah Yang Maha Besar.

Sebaik sahaja Mus’ab mengambil tempat duduknya, ayat al Quran mulai mengalir dari kalbu Rasulullah bergema melalui kedua bibirnya dan sampai ke telinga, meresap di hati para pendengar. Di senja itu Mus’ab terpesona dengan untaian kalimat Rasulullah yang tepat menemui sasaran pada hatinya.

Mus’ab berasa terharu dan sangat gembira seolah-olah ingin terbang. Dia tidak dapat duduk pada tempat duduknya, tetapi Rasulullah menghulurkan tangannya yang penuh berkat, kasih saying serta mengurut dada pemuda yang sedang panas sehingga tiba-tiba menjadi sebuah lubuk hati yang tenang dan damai, tidak ubah seperti sebuah lautan yang teduh dan damai. Pemuda yang telah Islam dan beriman itu kelihatan telah memiliki ilmu dan hikmah yang luas – berlipat ganda dari ukuran usianya dan mempunyai kepekatan hati yang mampu mengubah sejarah.

Ibu Mus’ab iaitu Khunas binti Malik adalah seorang yang berkeperibadian kuat dan mempunyai pendirian yang tidak dapat ditawar atau diganggu gugat. Dia wanita yang disegani dan ditakuti.

Setelah Mus’ab memeluk Islam, tiada satu kekuatan pun yang ditakuti dan dibimbanginya melainkan ibunya sendiri, bahkan walau seluruh penduduk Mekah serta berhala-berhala para pembesar dan padang pasirnya berubah menjadi suatu kekuatan yang menakutkan yang hendak menyerang dan menghancurkannya, tentulah Mus’ab akan menganggapnya perkara remeh sahaja. Tetapi bagi Mus’ab tentangan dari ibunya bukanlah perkara kecil.

Mus’ab mula berfikir untuk mencari penyelesaian dan akhirnya memutuskan untuk menyembunyikan keislamannya sehingga terjadi sesuatu yang dikehendaki Allah. Begitulah dia sentiasa beulang alik ke rumah Arqam menghadiri majlis Rasulullah di mana hatinya rasa bahagia dengan keimanan dan dia bersedia menebusnya dengan kemurkaan ibunya yang belum mengetahui tentang berita keislamannya.
Alau bagaimanapun di kota Mekah tiada perkara yang dapat disembunyikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan tersebut. Mata kaum Quraisy berkeliaran di mana-mana mengikuti setiap langkah dan menyelusuri setiap jejak.

Kebetulan pada masa itu seorang yang bernama Usman bin Talhah melihat Mus’ab memasuki rumah Arqam secara sembunyi. Pada hari yang lain pula dilihatnya Mus’ab bersolat seperti Muhammad s.a.w. Dengan pantas dia pergi mendapatkan ibu Mus’ab dan melaporkan berita yang telah pasti itu.

Berdirilah Mus’ab di hadapan ibu dan keluarganya serta para pembesar Mekah yang berkumpul di rumahnya. Dengan hati yang yakin pasti dibacakannya ayat-ayat suci al Quran yang disampaikan oleh Rasulullah dengan harapan untuk mencuci hati nurani mereka, mengisinya dengan hikmah dan kemuliaan, kejujuran dan ketaqwaan.
Ketika ibunya cuba menutup mulut puteranya dengan tamparan yang kuat, tiba-tiba tangan yang dihulurkan itu menjadi lemah dan jatuh terkulai – demi melihat nur atau cahaya yang membuat wajah yang telah berseri itu semakin berwibawa dan menimbulkan satu ketenangan yang mendorong ibunya menghentikan tindakan tersebut.

Kerana rasa keibuannya, ibu Mus’ab terhindar dari memukul dan menyakiti puteranya, tetapi tidak dapat menahan diri dari tuntutan bela berhala-berhalanya dengan jalan lain. Dia telah membawa puteranya ke suatu tempat yang terpencil di rumahnya, lalu dikurung dan dipenjarakan dengan kawalan yang amat ketat sekali.

.......bersambung

Tiada ulasan: